Tajuk : Amalan Berjimat-cermat Mendatangkan Pelbagai Manfaat
Kepada Sesebuah Negara. Huraikan Kepentingan-Kepentingan dan Langkah-Langkah Amalan Berjimat-cermat.
Pendahuluan:
Istilah berjimat-cermat sering diuar-uarkan oleh pihak kerajaan pada
zaman muasir ini. Adakah masyarakat Malaysia tidak tahu berjimat-cermat?
Sebenarnya berjimat-cermat merupakan istilah keramat yang memacu kepada
kejayaan sesebuah bangsa dan negara.Tanpa amalan tersebut maka tidak
mustahilah negara akan terdedah kepada krisis ekonomi,maka mundurlah
ekonomi negara tersebut. Dalam konteks ini, semua individu dalam sebuah
negara memainkan peranan penting dalam mengamalkan amalan
berjimat-cermat.Terdapat banyak faedah yang diperoleh daripada amalan
itu.
Isi 1: Persediaan dan Jaminan Masa Hadapan.
Apakah kepentingan amalan berjimat-cermat?
Amalan berjimat-cermat membolehkan individu merancang masa depan mereka.
Mengapakah amalan berjimat-cermat perlu dilakukan?
Hal ini perlu dilakukan oleh semua orang bak kata pepatah “beringat
sebelum kena, berjimat sebelum habis”kerana kita tidak menduga sesuatu
perkara yang akan berlakupada masa hadapan.
Bagaimanakah amalan ini perlu dilakukan?
Golongan masyarakat terutamanya ibu bapa perlu mengamalkan sikap
berjimat-cermat terutamanya dalam aspek kewangan kerana “sedikit-sedikit
lama-lama menjadi bukit”dan “sehari selembar benang lama-lama menjadi
kain”. Hal ini akan dapat membantu mereka membiayai perbelanjaan
pendidikan anak-anak apabila melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Masyarakat terutamanya generasi muda perlu merancang perbelanjaan mereka
agar tidak berdepan dengan masalah apabila menempuh usia emas kelak.
Kebanyakan warga emas menghadapi masalah kerana mereka gagal merancang
kewangan ketika usia muda. Hal ini perlu dielakkan supaya tidak seperti
pepatah “sudah terhantuk baru tengadah”.
Contoh
Sebagai contoh, apabila anak-anak berjaya melanjutkan pelajaran, ibu
bapa akan memerlukan kos yang banyak.Sekiranya ibu bapa mempunyai wang
simpanan, mereka tidak menghadapi apa-apa masalah, sebaliknya jika ibu
bapa tidak mempunyai wang simpanan, mereka akan tertekan dengan kemelut
kewangan sekali gus akan mengharapkan biasiswa dan pinjaman daripada
pihak kerajaan.
Rumusan isi
Oleh itu, kita janganlah menjadi masyarakat yangn sentiasa mengharapkan
bantuan daripada pihak kerajaan dan melahirkan bangsa yang sentiasa
bertongkat. Oleh hal yang demikian, amalan berjimat-cermat ini dapat
melahirkan masyarakat yang harmoni dan keluarga yang bahagia kerana
tidak mengalami sebarang tekanan kewangan kerana mempunyai wang simpanan
mereka sendiri.
Isi 2 : Persediaan Menghadapi Waktu Kecemasan.
Apakah kepentingan amalan berjimat-cermat?.
“Malang tidak berbau”. Peribahasa ini sangat sinonim dengan fitrah
kehidupan manusia. Tiada sesiapapun yang mengetahui akan musibah yang
bakal dihadapi pada masa akan datang.Sejajar dengan itu, amalan
berjimat-cermat boleh membantu masyarakat sebagai suatu persediaan
apabila menghadapi waktu kecemasan seperti perbelanjaan merawat
pembedahan, kemalangan dan penyakit kronik yang dialami oleh diri
sendiri, ibu bapa atau kaum keluarga.
Mengapakah amalan berjimat-cermat perlu dilakukan?
Sehubungan dengan itu, melalui amalan berjimat-cermat, kita tidak perlu
“mengemis” di merata-rata tempat apabila memerlukan rawatan kesihatan.
Langkah berjimat-cermat ini sangat penting kepada masyarakat sebagai
satu persediaan jika berlaku sesuatu kecemasan kerana manusia hanya
merancang sedangkan Tuhan yang menentukan.
Bagaimanakah amalan ini penting kepada seseorang?
Hal ini disebabkan kos rawatan yang tinggi dan biasanya tidak mampu
dibiayai oleh pesakit terutamanya apabila melibatkan pembedahan dan
penyakit kronik yang memerlukan perbelanjaan beratus-ratus ribu ringgit.
Kos rawatan yang terlalu tinggi ini tentulah membebankan pesakit
tersebut.
Contoh.
Apabila seseorang dimasukkan ke hospital kerana menghidap penyakit
kronik seperti kanser, rawatan pembedahan melibatkan perbelanjaan
berjumlah beratus-ratus ribu ringgit. Kegagalan pesakit menyediakan
sejumlah wang yang besar ini boleh menyebabkan pesakit tidak mendapat
rawatan yang sewajarnya dan akan berakhir dengan kematian.
Rumusan isi.
Rumusannya, langkah berjimat-cermat ini sangat penting kepada masyarakat
sebagai satu persediaan menghadapi waktu kecemasan agar rawatan segera
dapat menyelamatkan nyawa pesakit.
Isi 3 : Kestabilan Ekonomi Negara.
Apakah kepentingan amalan berjimat-cermat?
Salah satu faedah berjimat-cermat ialah ekonomi negara dapat distabilkan.
Mengapakah amalan berjimat-cermat perlu dilakukan?
Tanpa kestabilan ekonomi negara, sesebuah negara tidak dapat dibangunkan
atau dimajukan. Komitmen seseorang amatlah diharapkan bagi membangunkan
ekonomi Negara.
Bagaimanakah amalan berjimat-cermat perlu dilakukan?
Seseorang itu dapat berjimat cermat dengan cara membeli barangan buatan
tempatan atau melancong dalam negara mereka sendiri. Apabila seseorang
itu membeli barangan buatan tempatan, hal ini akan mengelakkan
pengaliran wang keluar wang dan menggalakkan wang beredar dalam negara.
Jika kita membeli barangan buatan tempatan dan bukannya barangan import,
wang yang kita bayar atau belanjakan itu akan diterima oleh pengeluar
tempatan dan wang tersebut boleh mengalirdalam negara.
Contoh
Maka pendapatan yang ada, negara akan dapat membiayai pelbagai projek
yang mendatangkan keuntungan, lebih-lebih lagi ketika kegawatan ekonomi.
Negara juga tidaklah perlu memuat pinjaman kewangan dari Bank Dunia
justeru, maruah negara dapat diselamatkan. Oleh yang demikian itu,
kegiatan ekonomi tempatan dapat dihidupkan secara lebih aktif dan
efektif. Impaknya, ekonomi menjadi lebih mampan.Seseorang individu atau
masyarakat turut dapat membantu kestabilan ekonomi negara dengan
mengamalkan pelancongan domestik. Mereka digalakkan melancong dalam
negara mereka sendiri seperti peribahasa “hujan emas di negeri orang,
hujan batu di negeri sendiri lebih baik di negeri sendiri” Apabila hal
ini berlaku, maka secara tidak langsung mereka telah memberi sumbangan
kepada pertumbuhan ekonomi. Ekonomi negara akan menjadi lebih teguh dan
mantap. Wang yang dibelanjakan akan diterima oleh pengusaha tempatan dan
hal ini bermakna wang itu seterusnya akan beredar dalam kalangan rakyat
tempatan.
Rumusan isi
Oleh itu, jelaslah bahawa sikap berjimat-cermat merupakan salah satu
punca yang menyumbang ke arah kekukuhan ekonomi negara. Sejajar dengan
itu, marilah kita bersama-sama mengamalkan amalan yang terpuji itu.
Langkah-Langkah Amalan Berjimat-cermat
Isi 4: Peranan ibu bapa
Apakah peranan ibu bapa untuk memupuk amalan berjimat -cermat.?
Ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak
mengamalkan tabiat suka berjimat-cermat,sebagaimana pepatah Melayu ada
menyebut “ bagaimana acuan begitulah kuihnya”.
Mengapakah ibu bapa perlu menunjukkan sikap berhemah ketika berbelanja?
Ibu bapa menunjukkan sikap bijak dan berhemah apabila berbelanja dan
menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak sama juga seperti
peribahasa “bapa borek anak rintik”.
Bagaimanakah ibu bapa boleh memupuk amalan berjimat-cermat?
Antara langkah permulaan yang boleh dilakukan ialah menggalakkan
anak-anak membawa bekal makanan ke sekolah.Dalam hal ini, anak-anak
mereka bukan sahaja ditanam minat suka menabung dan berjimat-cermat
tetapi juga membawa bekalan makanan seimbang yang disediakan oleh ibu
dari segi khasiatnya malah terjamin kebersihannya. Tidak timbul lagi
masalah keracunan makanan yang sering dihadapi oleh pelajar seandainya
mereka makan makanan di kantin sekolah atau yang dibeli di luar.
Contoh
Sebenarnya, penabungan wang belanja yang diberi oleh ibu bapa dapat
digunakan untuk membeli barang keperluan yang berfaedah seperti barangan
peribadi ataupun buku-buku rujukan.Hal ini, sebagai serampang dua mata,
selain berjimat-cermat, pada masa yang sama dapat merasai air tangan
ibu dan boleh mengeratkan kasih sayang ibu dan anak.
Rumusan isi.
Kesimpulannya, membawa bekalan makanan dari rumah ini perlu dijadikan satu budaya yang patut diamalkan oleh setiap pelajar.
Isi 5: Peranan kerajaan dan rakyat
Apakah peranan kerajaan dan rakyat dalam usaha menggalakkan sikap berjimat-cermat?
Salah satu langkah untuk menggalakkan sikap berjimat-cermat, kerajaan
perlu menyeru rakyat agar membuat pelaburan pendidikan untuk anak-anak.
Mengapakah pelaburan pendidikan ini amat berguna kepada ibu bapa dan anak-anak?
Pelaburan pendidikan ini amat berguna kerana para ibu bapa dapat
mempersiapkan diri awal-awal lagi untuk membiayai pendidikan anak-anak
agar tidak perlu berhadapan dengan masalah kewangan ketika sampai
masanya anak-anak memasuki institusi pendidikan. Janganlah nanti
anak-anak terpaksa mengalah untuk tidak menyambung pelajaran disebabkan
masalah kewangan.
Bagaimanakah caranya ibu bapa boleh melabur dalam skim pelaburan pendidikan?
Para ibu bapa boleh memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan mereka untuk membuat simpanan dalam skim pelaburan pendidikan.
Contoh
Pada hari ini, banyak syarikat insuran, umpamanya Malaysian National
Insurance (MNI), Malayan Alliance Assurance (MAA), Insuran Takaful dan
Takaful Nasional serta bank-bank perdagangan lain yang menawarkan pelan
pendidikan untuk meringankan beban ibu bapa bagi menampung pembiayaan
pendidikan anak-anak pada masa depan. Amalan ini sesuai dengan
peribahasa Melayu yang berbunyi “ sediakan payung sebelum hujan”.
Rumusan isi.
Sesungguhnya, kita tidak boleh mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata
kerana kita perlu berusaha sendiri untuk menempa kejayaan anak-anak.
Pelaburan awal ini dapat menjamin penerusan kegemilangan generasi
cemerlang.
Isi 6: Peranan golongan wanita
Apakah peranan golongan wanita dalam amalan berjimat-cermat?
Kajian menunjukkan bahawa golongan wanita memainkan peranan penting dalam mencorak perbelanjaan keluarga.
Mengapakah wanita perlu mempunyai pengetahuan dalam bidang ekonomi?
Bagi golongan wanita yang celik ekonomi,mereka akan sentiasa peka dan mengambil berat tentang wang yang dibelanjakan.
Bagaimanakah golongan wanita boleh menstabilkan ekonomi rumahtangga?
Oleh itu, untuk memastikan ekonomi dalam rumahtangga mereka sentiasa
stabil, wanita yang bergelar suri rumah harus bertindak dengan bijaksana
serta teliti ketika berbelanja. Suri rumah perlu mengikis sikap
terburu-buru semasa membuat pilihan kerana hal ini akan merugikan diri.
Contoh
Sebagai contoh, mungkin mereka terpaksa membeli barangan yang tidak
perlu atau tidak berkualiti hanya kerana tertarik dengan iklan-iklan
jualan murah yang “indah khabar daripada rupa”. Selain itu, sekiranya
mereka ada masa terluang, suri rumah ini juga boleh menyahut seruan
kerajaan agar berjimat-cermat melalui penanaman sayur-sayuran atau
memelihara ayam itik di belakang rumah. Kebaikannya memang ketara iaitu
di samping dapat menghidangkan sayur-sayuran yang segar untuk keluarga,
mereka juga dapat membantu suami mengurangkan perbelanjaan rumahtangga.
Pada masa yang sama, kempen yang dilancarkan oleh kerajaan agar membeli
barangan buatan tempatan perlu dimanfaatkan oleh golongan wanita. Jika
selama ini mereka terlalu taksub dengan barang-barang buatan luar negara
yang kononnya berkualiti tinggi,kini mereka boleh beralih arah dengan
barang-barang buatan tempatan yang tidak kurang hebatnya. Selain murah,
barang-barang ini juga mempunyai kualiti yang lebih baik.
Rumusan isi
Oleh itu, di samping berjimat cermat, suri rumah juga dapat membantu menjana ekonomi negara.
Penutup
Konklusinya, amalan berjimat-cermat perlu diamalkan oleh setiap lapisan
masyarakat agar hasrat murni kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan
ekonomi akan tercapai.Sesungguhnya, amalan berjimat-cermat dapat
meloloskan diri daripada belenggu inflasi yang melanda negara. Secara
tidak langsung, hal ini akan melahirkan warga negara yang bijak dan
berhemah dalam mengurus ekonomi keluarga,masyarakat dan negara.Maka,
sekiranya kita sayang akan keluarga dan negara daripada dibebani
kebejatan ekonomi,kita perlu menggembleng tenaga dalam mengamalkan
budaya berjimat-cermat. Akhir kalam, “berakit-rakit ke hulu,
berenang-renang ke tepian,bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang
kemudian”.