PENULISAN
KARANGAN BAHAGIAN C : PMR
Soalan:
Sejak akhir-akhir ini kegiatan
jenayah sering mendapat perhatian daripada pihak media massa. Keadaan ini
amat membimbangkan masyarakat mahupun negara.
Bincangkan langkah-langkah menangani
masalah jenayah ini daripada berleluasa.
Sedasarwasa ini, sering meniti dari
bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu
kegiatan jenayah. Isu seperti ini perlu diberi perhatian yang
lebih. Semua pihak sewajarnya bekerjasama bagai aur dengan tebing
bagi mengatasi isu jenayah yang semakin meruncing membunuh manusia ini.
Antara isu jenayah yang menjadi tumpuan orang ramai ialah membunuh, merompak,
memeras ugut dan merogol. Siapakah yang bertanggungjawab untuk membendung
masalah yang semakin berleluasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan ini.
Oleh hal yang demikian, usaha-usaha yang drastik, pragmatik dan efektif perlu
dilaksanakan bagi menangani isu kegiatan jenayah yang sudah bersarang lama di
negara kita ini.
Dalam konteks ini, kerajaan
memainkan peranan penting dalam memasang kamera litar tertutup di
setiap tempat. Dengan cara ini, segala kegiatan yang menyalahi
undang-undang dapat dirakamkan dan setiap tindak-tanduk manusia yang
mencurigakan dapat diungkai dengan secepat mungkin. Hal ini demikian
kerana dengan memasang kamera litar tertutup di semua tempat, penjenayah akan
berasa takut untuk melakukan kegiatan mereka. Mereka juga akan memikirkan
dua kali untuk melakukan jenayah. Sebagai analoginya, pihak kerajaan seharusnya
memasang kamera litar tertutup di kawasan tempat parkir kereta kerana
berdasarkan perangkaan terkini, statistik tindakan jenayah banyak berlaku di
kawasan tempat letak kereta berbanding kawasan-kawasan lain. Oleh itu,
dengan pemasangan kamera litar tertutup di semua tempat, isu jenayah ini dapat
dibasmi dan dicegah hingga ke akar umbi.
Selain itu, para
penduduk di setiap presint sewajarnya mengamalkan semangat kejiranan
dalam kehidupan seharian. Dengan berbuat demikian, keselamatan di kawasan
perumahan akan terjamin dan para penduduk tidak akan berasa bimbang dan gusar
tentang keselamatan mereka. Hal ini secara tidak langsung dapat memupuk
perpaduan kaum dan semangat kekitaan dalam kalangan penduduk. Bagi
mengatasi masalah jenayah yang kian serius ini, para penduduk seharusnya
memaklumkan jiran terdekat jika hendak ke sesuatu tempat. Oleh hal
demikian, semangat kejiranan begitu penting dalam menghindari sebarang kejadian
yang tidak diingini daripada berlaku.
Di samping itu, rondaan
yang kerap perlu dilakukan supaya kawasan kediaman berada dalam keadaan
aman dan selamat. Pihak polis dan masyarakat setempat perlu membuat
rondaan pada waktu malam secara berterusan. Dengan cara ini, kes-kes
jenayah di kawasan yang kerap berlaku kejadian jenayah dapat dikurangkan.
Sebagai contohnya, pihak polis atau ahli Rukun Tetangga hendaklah melakukan
rondaan terutamanya pada musim-musim perayaan pelbagai kaum. Hal ini
demikian kerana, pada musim perayaan statistik kejadian jenayah adalah lebih
tinggi berbanding pada hari-hari biasa. Lantaran itu, pihak polis dan
masyarakat setempat perlu mengadakan rondaan lebih kerap lagi bagi mengelakkan
sebarang kejadian jenayah.
Natijahnya, jika
setiap masyarakat berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama
dituruni, insya-Allah isu-isu jenayah akan merudum dan kesejahteraan
rakyat dapat dicapai sejajar dengan visi kudsi Wawasan 2020. Oleh hal
yang demikian, semua pihak tidak seharusnya melepaskan batuk di
tangga malah perlu merealisasikan matlamat ‘Sifar Jenayah’ kerana
jenayah ini ibarat api, tatkala kecil menjadi kawan, apabila besar
menjadi lawan. Jadi, marilah kita bersama-sama menggembleng
tenaga bagi membanteras kegiatan jenayah ini.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan